Mayat Wanita Filipina Ditemukan Berulat Di Dalam Parit, Polis Cari Suami Mangsa

Mayat Wanita Filipina Ditemukan – Foto Ihsan Polis

TAWAU: Mayat seorang wanita warga Filipina ditemukan dalam keadaan berulat dan fizikal yang tidak sempurna di Kampung Arang, Lorong Kijang 1, Inderasabah, di sini semalam.

Mayat mangsa, Maria Abdullah, 23, ditemukan  terlentang pada pukul 7.3 malam di dalam sebuah parit dan ditutup menggunakan pelepah sawit serta zink oleh ahli keluarganya.

Difahamkan, wanita yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu, adalah isteri kepada seorang pekerja kebun di situ.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan hilang menyebabkan suaminya keluar mencari wanita itu, sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan media hari ini.

“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 200 meter dari kawasan penempatan penduduk.

“Mangsa dianggarkan meninggal dunia kira-kira lima hari lalu berdasarkan keadaan badan yang sudah mereput, berulat dan tidak sempurna,” katanya.

Menurut Peter, suami mangsa juga gagal dihubungi sejak kali terakhir lelaki itu dikatakan keluar mencari isterinya pada 22 Februari lalu.

“Siasatan awal mendapati tiada darah atau penemuan objek mencurigakan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan di kediaman mangsa juga mendapati tiada kesan pergelutan dan keadaan dalam rumah yang teratur,” katanya.

Peter berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

“Dalam masa sama, polis juga mengesan suami mangsa,” katanya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *