Lumba Haram, Penganggur Dipenjara 12 Bulan, Denda RM5,000

Choong Chee Wei (baju merah) dipenjara 12 bulan dan denda RM5,000.00 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini kerana terbabit lumba haram

TAWAU: Seorang lelaki dipenjara 12 bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara berbahaya di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh Chong Chee Wei, 20, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, pada 23 Februari lalu, pukul 12.30 tengah malam.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, Chee Wei, menunggang motosikal dengan cara merbahaya iaitu terbabit dalam aktiviti lumba haram.

Tertuduh dikatakan cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan di kawasan Industri Megah Jaya, selepas motosikal yang dinaikinya mengalami kerosakan.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Chee Wei dalam rayuannya meminta mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia adalah yatim, tidak bekerja dan dibesarkan oleh ibunya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Trafik Asisten Superintenden Joan Lee meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan tindakan tertuduh boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Tambah Joan Lee, tertuduh juga mempunyai empat saman tertunggak dalam tangkapan pertama yang masih belum dijelaskan, selain enam lagi ketika tangkapan kedua dilakukan.

Menurutnya, ia jelas menunjukkan tertuduh tidak serik dan menyesal selepas tangkapan pertama dilakukan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amirshah Amir Hassan kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan berkuatkuasa hari ini dan denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tambah beliau, hukuman itu dibuat selepas mengambil kira kesan lumba haram terhadap awam selain menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

Terdahulu, dalam pertuduhan berasingan, Chee Wei turut dikenakan denda sebanyak RM400 atau 14 hari penjara jika gagal bayar  selepas mengaku bersalah menunggang motosikal tanpa lesen pada hari, masa dan lokasi yang sama.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *