Kakitangan Hospital Kudat Dikuarantin Disyaki Dijangkiti Koronavirus

KOTA KINABALU: Seorang juruteknologi Hospital Kudat disahkan sedang dikuarantin kerana disyaki dijangkiti Covid-19.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, wanita berusia 35 tahun itu  dikuarantin di rumahnya sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) selama 14 hari.

Beliau mengesahkan perkara itu ketika mengulas tentang mesej WhatsApp yang tular hari ini mengatakan wanita tersebut disyaki dijangkiti virus berkenaan ketika bercuti di Korea Selatan baru-baru ini.

Menurut WhatsApp yang tular, wanita itu bercuti selama lima hari bersama rakan-rakannya sejak 15 Februari, namun selepas pulang ke tanah air menunjukkan tanda-tanda seperti batuk, demam, selesema, migrain dan sakit tekak.

“Mudah-mudahan pagi esok saya akan mendapat laporan penuh (mengenai ujian wanita itu),” jelas Poon.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang kerana wanita itu sebenarnya tidak memenuhi kriteria untuk dianggap suspek untuk Covid-19.

“Sebelum seseorang dianggap suspek Covid-19, dia harus memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kementerian kesihatan. Ini termasuk perjalanan ke China.

“Dalam kes ini, dia tidak pergi ke China. Dalam erti kata lain, semua orang (dengan simptom) yang pergi ke klinik atau hospital swasta akan melalui satu set soal selidik sebelum doktor berkenaan akan memutuskan sama ada perlu merujuk orang itu untuk ujian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini Sabah tidak mempunyai kes yang sah mengenai Covid-19.

Poon berkata, terdapat 68 PUI, hanya 36 sampel diambil untuk ujian yang semuanya  negatif.

Jelasnya, 32 orang lagi tidak memerlukan ujian lanjut kerana tidak memenuhi kriteria untuk dianggap sebagai suspek berdasarkan jawapan mereka kepada soal selidik.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *