‘Tak Perlu PRU, PH Ada Majoriti Mudah’

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad

PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum (PRU) tidak perlu diadakan ketika ini kerana Pakatan Harapan (PH) yakin memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad, berkata angka dimiliki ketika ini tidak mencecah dua pertiga, namun cukup untuk membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.

“Tidak, kita tidak bincang mengenai PRU. Kenapa perlu bazirkan duit rakyat untuk mengadakan PRU sedangkan kita boleh dapat majoriti yang jelas.

“Majoriti dua pertiga adalah perkara lampau dan tidak perlu dibincangkan lagi. Majoriti mudah sudah cukup untuk PH membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid memaklumkan mereka membincangkan banyak perkara dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Umum PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyifatkannya sebagai mesyuarat yang positif.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan mereka belum menyentuh mengenai calon Perdana Menteri yang akan menerajui kerajaan baharu PH.

Ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Khalid berkata, soalan itu perlu diajukan kepada parti terbabit.

Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub, berkata PKR, DAP dan AMANAH mencapai persetujuan bersama mengenai perkara yang akan dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong esok.

Namun, beliau tidak mendedahkan perkara yang dicapai, sama ada calon Perdana Menteri bagi PH atau memilih untuk membubarkan Parlimen.]

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *