Shafie Di Sabah Bukan Mesyuarat Di KL, Kerajaan Sabah Ok

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak pernah menyertai mesyuarat bersama pemimpin tertinggi UMNO, Pas serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kuala Lumpur pagi ini seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

Mohd. Shafie sebaliknya berada di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) sepanjang hari ini untuk menjalankan tugas rasmi beliau.

Kira-kira pukul 11 pagi tadi, beliau menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass yang baru dilantik ke jawatan itu menggantikan Datuk Omar Mammah minggu lalu.

“Ketua Menteri tidak pernah menghadiri apa-apa mesyuarat di Semenanjung kerana beliau berada di pejabatnya di PPNS, bertugas seperti biasa.

“Laporan portal berita mengatakan Ketua Menteri bermesyuarat bersama Muhyiddin dan pemimpin tertinggi parti politik yang lain tidak betul, dari mana mereka mendapatkan maklumat tersebut,” kata sumber kepada Borneo Today.

Portal berita FMT hari ini melaporkan pemimpin tertinggi lima parti iaitu UMNO, Warisan, Bersatu, Pas dan GPS bermesyuarat pagi ini untuk membentuk satu kerjasama berikutan pergolakan politik yang berlaku terutama membabitkan perpecahan Pakatan harapan (PH).

Menurut FMT lima pemimpin itu ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Mohd. Shafie.

Sementara itu, ketika beberapa kerajaan negeri termasuk Melaka goyah akibat perpecahan PH, Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan tergugat meskipun mempunyai kerjasama dengan PH.

Ini berikutan tanpa PH yang terdiri daripada DAP dan PKR, Warisan masih memiliki 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah iaitu jumlah yang cukup membentuk majoriti mudah sekiranya apa-apa berlaku.

Selain itu, Warisan masih mempunyai sokongan daripada Pertubuhan Pasakmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang mempunyai empat kerusi DUN.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *