Politik Sabah Akan Berubah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Perkembangan politik semasa akan turut mengubah landskap politik negeri Sabah terutama selepas kenyataan sokongan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung ketika dihubungi berkata, situasi di Sabah banyak bergantung kepada perkembangan semasa politik di Putrajaya.

“Kita tahu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan sokongan Parti Warisan Sabah (WARISAN) terhadap Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Terkini dikhabarkan terdapat rundingan di antara Muafakat Nasional yang membabitkan UMNO dan PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), WARISAN dan Gabungan Parti Sarawak ( GPS ) akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada tengahari ini.

“Saya percaya ini akan dikuti oleh Gabungan Bersatu Sabah ( GBS ) yang terdiri daripada Parti Bersatu Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Solidariti Tanahairku.

“Sekiranya ini benar, secara statistiknya mereka sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu,” katanya.

Kuok Tiung berkata, langkah BERSATU keluar dari Pakatan Harapan ( PH ) juga bakal mengubah komposisi dan struktur barisan kabinet Sabah.

“Memandangkan kerajaan negeri Sabah pada waktu ini dibentuk daripada kerjasama WARISAN-PH-UPKO, apabila BERSATU keluar daripada PH, sebarang percaturan pastinya akan mengubah komposisi barisan kabinet di Sabah.

“Kesannya bukan sahaja di Sabah tetapi juga beberapa negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Katanya, walaupun pada ketika ini BERSATU tiada dalam barisan kabinet negeri Sabah, tidak mustahil dengan komitmen Shafie terhadap Tun Dr Mahathir, akan berlaku rombakan kabinet untuk memasukan Adun BERSATU ke dalam barisan kabinet negeri itu.

“Malah, tidak mustahil sekiranya Tun Dr Mahathir berjaya membentuk kerajaan baharu, Shafie akan memikul peranan Menteri Kanan dalam barisan kabinet persekutuan dan di Sabah ini jawatan Ketua Menteri diberikan kepada BERSATU,” katanya ketika dihubungi BH.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *