Polis Sabah Rampas Dadah, Bot Bernilai RM1.15 juta

Zaini (tiga kiri)menunjukkan gambar-gambar bot yang dirampas disyaki digunakan untuk aktiviti penyalahgunaa dadah di Labuan. Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Tujuh lelaki ditahan dan lapan bot bernilai RM1.15 juta dirampas selepas disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah di dua lokasi berasingan di Labuan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menahan tiga lelaki tempatan di tepi jalan berhadapan Simpang Kemboja, kira-kira jam 9 pagi, Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga lelaki itu menemukan dua plastik berisi ketulan hablur disyaki dadah syabu seberat 75.51 gram.

“Berpandukan maklumat, sepasukan polis membuat satu lagi serbuan di kawasan rumah kongsi di Sungai Keling dan menahan empat lelaki warga asing serta merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 100.08 gram.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM17,500,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad.

Zaini berkata, hasil serbuan itu juga, polis menyita sebanyak lapan bot gentian kaca dan 25 enjin sangkut jenama Yamaha 200 kuasa kuda (hp).

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan kedua, polis menyita lapan bot beeserta 25 enjin sangkut disyaki digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Semua tangkapan berusia 36 hingga 53 tahun dan semua barangan rampasan dibawa ke IPD Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *