GPS Sekali Lagi Tegaskan Sokongan Kepada Dr Mahathir

KOTA KINABALU: Kerajaan Sarawak menegaskan sekali lagi sokongan kepada Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk terus menerajui kepimpinan negara di sebalik kemelut politik yang berlaku ketika ini.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, sokongan tersebut telah dinyatakan secara rasmi oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas mendapat mandat daripada semua Ahli Parlimen GPS.

“Pelbagai spekulasi telah tersebar mengenai kedudukan GPS dalam kemelut politik semasa. Pendirian GPS adalah menyokong sepenuhnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk terus menerajui kepimpinan negara.

“Sokongan ini telah pun disampaikan secara rasmi kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pada Ahad, 23 Februari 2020 oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Pengerusi GPS.

“Ketua Menteri Sarawak telah mendapat mandat sebulat suara daripada Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS dan semua Ahli Parlimen GPS memberikan sokongan kepada Dr. Mahathir untuk terus menerajui kepimpinan Malaysia demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemelut politik semasa yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berpecah menjadikan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan GPS menjadi penentu atau ‘king maker’ kepada usaha membentuk majoriti mudah oleh kerajaan baharu yang dilantik.

Berikutan itu, pelbagai andaian dibuat dan dilaporkan oleh portal berita tentang hala tuju politik kedua-dua parti itu.

Warisan melalui Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal juga telah menyatakan sokongan penuh kepada Dr. Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak, Solidariti Anak Sarawak (SAS) hari mengingatkan kepada Abang Johari berhati-hati dalam memilih kerjasama politik agar tidak terjebak dengan politik berasaskan perkauman dan rasuah.

Jurucakap SAS, Peter John Jaban berkata, UMNO dan Pas telah ditolak rakyat dalam pilihan raya umum lalu kerana rasuah dan perkauman, justeru rakyat mahukan satu perubahan.

“Rakyat telah menamatkan pemerintahan UMNO selama berdekad yang mana agama dan bangsa dijadikan alat politik untuk memecah belahkan bukan perpaduan dan rasuah juga berleluasa.

“Kedua-dua parti ini kalah di peti undi, maka tiada cara lain untuk melihat perkara itu. Mereka telah kalah, sekarang, dua tahun kemudian ada cadangan kononnya pemimpin yang dihormati seperti Abang Johari dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersepakat untuk meletakkan parti itu kembali ke tampuk kuasa, sebab itulah rakyat terkejut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *