Bot Karam Di Kudat, Seorang Nelayan Dikhuatiri Hilang

Anggota penyelamat melakukan penelitian pada peta untuk operasi SAR nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya karam di perairan Kudat. – Foto APMM

KUDAT: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki bersama seorang rakan karam di perairan Sikuati di Kudat, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, Suerun Hasarudin, 21, warga Filipina hilang manakala rakannya berjaya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat, Komander (Maritim) Boon Chin Chau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian di kedudukan enam batu nautika dari pantai Sikuati.

Pasukan penyelamat menjalankan operasi SAR di sekitar laut di perairan Kudat. – Foto APMM

Katanya, bertindak atas laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 9.45 pagi semalam membabitkan penugasan dua buah aset laut milik APMM.

“APMM Kudat membuka Pangkalan Hadapan Carilamat (FOB) di Kampung Terongkongan Kudat, bagi menyelaras usaha operasi SAR di sektor pencarian.

“Operasi SAR pertama ditangguhkan sekitar jam 6.30 petang semalam berikutan keadaan gelap,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR hari kedua diteruskan seawal jam 8 pagi tadi dengan keupayaan enam buah aset daripada pelbagai agensi.

“Kawasan pencarian dibahagikan kepada lima sektor dengan keluasan keseluruhan meliputi 185 batu nautika persegi.

“Operasi SAR mengalami sedikit kesukaran berikutan keadaan angin yang kencang dan laut bergelora di sekitar sektor pencarian,” katanya.

Katanya, sehingga kini pasukan pencari masih belum menemui sebarang petunjuk dan operasi SAR hari ini ditangguh jam 6 petang tadi.

Operasi SAR turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *