Bicara SRC Tangguh, Najib Mengadap Istana Negara

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan bersambung hari ini, ditangguhkan esok.

Ia berikutan Najib perlu hadir pada mesyuarat di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah, selepas menghadiri mesyuarat itu, Najib dipanggil mengadap ke Istana Negara.

Pada masa sama, peguam Farhan Read memberitahu mahkamah, saksi pembelaan iaitu Pengarah Urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd, Datuk Rosman Abdullah yang sepatutnya memberikan keterangan hari ini, masih belum bersedia.

Farhan berkata, pihaknya tidak dapat meneruskan dengan mendengar keterangan Rosman hari ini.

Peguam itu turut memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya; bekas Ketua Pesuruhjaya agensi itu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; Bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; dan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk memberikan keterangan minggu depan.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *