Tun M Tidak Terbabit Komplot – Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Ibu Pejabat Keadilan di Merchant Square, hari ini. – NSTP/Eizairi Shamsudin

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa dengan kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini.

Ditemui media di luar ibu pejabat PKR di sini, Anwar berkata, dalam pertemuannya dengan Ahli Parlimen Langkawi itu pagi tadi, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak terbabit dengan komplot pengkhianatan ini.

“Saya merayu kepada beliau untuk PKR, Pakatan Harapan (PH) bahawa pengkhianatan ini boleh ditangani bersama tetapi sudah tentu dia mempunyai fikiran berbeza.

“Dia fikir, dia tidak patut diperlakukan dengan cara itu. Namanya (Dr Mahathir) digunakan, orang-orang di dalam parti saya dan di luar (parti),” katanya.

Anwar berkata, Dr Mahathir juga tidak memainkan peranannya dalam komplot kerajaan campuran yang sedang berlaku ini.

“Dia mengulangi apa yang dia katakan kepada saya tadi, dia tidak memainkan peranan didalamnya (pembentukan kerajaan campuran),” katanya.

Anwar juga meminta semua pihak menghormati proses perlembagaan dengan membiarkan Dr Mahathir dan Yang Dipertuan Agong menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku ini.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *