‘Kami Mahu Gagalkan Konspirasi Menjatuhkan PM’

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Sebelas Ahli Parlimen PKR yang mengumumkan keluar dari parti itu mendakwa mereka sebenarnya mengambil langkah proaktif untuk menggagalkan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri di tengah-tengah penggal.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, sebelas Ahli Parlimen yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah mereka adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar kerajaan bertujuan meningkat tahap sosioekonomi rakyat seperti terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Justeru itu kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat. Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri di tengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya.

“Ini kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa Perdana Menteri dari pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, usaha mereka terbukti benar bahawa pihak itu kini menyedar kesalahan yang lakukan, justeru menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya hingga akhir penggal.

Kenyataan itu berkata, konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri dapat disaksikan pada malam Jumaat lalu apabila Dr Mahathir dipaksa menetapkan tarikh melepaskan jawatan dan melakukan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Usaha itu adalah kemuncak kempen mereka untuk mewarwarkan isu peralihan kuasa sebagai agenda utama PH.

“Kempen ini dimulakan sejak beberapa bulan lalu dengan kekerapan meningkat dari semasa ke semasa sehingga mengalihkan pandangan rakyat daripada usaha memberikan tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institusi,” katanya.

Menurutnya, kempen itu menghakis keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kewibawaan kerajaan PH.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk memberi tekanan kepada Dr Mahathir yang sedang mempersiapkan negara untuk menganjurkan Persidangan APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) pada November ini.

“Persidangan ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada usaha menampilkan Malaysia sebagai model transisi demokrasi yang mengutamakan agenda aspirasi rakyat.

“Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai “lame duck PM” (PM yang lemah),” katanya.

Menurutnya, ini adalah kerana menukar Perdana Menteri di tengah penggal memberi isyarat yang salah kepada rakyat dan masyarakat pelabur.

“Peralihan kuasa di tengah-tengah penggal akan menggugat kesinambungan dasar-dasar dan persepsi rakyat terhadap kerajaan PH,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *