“Tiada Apa-Apa,” Kata Shafie Apdal

KUALA LUMPUR: “Tiada apa,” itu jawapan ringkas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada pemberita ketika ditanya tujuan kehadirannya di Hotel Ritz Carlton, di Kuala Lumpur, yang juga lokasi mesyuarat Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan tiba di hotel berkenaan jam 5.35 petang menaiki kenderaan rasmi dengan memakai kemeja berwarna putih diiringi pegawainya.

Sebaik tiba di hotel, beliau terus berjalan tanpa berhenti sambil berkata, “Tiada apa,” ketika ditanya wartawan tujuan kehadirannya ke premis berkenaan.

Kedatangan mengejut Mohd Shafie itu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai agenda yang akan dibincangkan.

Ia berikutan lokasi sama berlangsungnya mesyuarat dan pertemuan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bersama Ahli Parlimen GPS.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diperoleh kerana usaha pihak media mendapatkan komen berhubung intipati perjumpaan daripada Abang Johari belum berhasil kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik mesyuarat.

Selain Abang Johari, turut kelihatan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot dan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *