Punca Kebakaran Daripada Peralatan Memasak

SANDAKAN: Kebakaran mengorbankan tiga beranak di Kampung Seng Kee, di Sandakan semalam dipercayai berpunca daripada peralatan memasak.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Azhar Hamin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati punca kejadian berkemungkinan daripada masalah peralatan memasak.

“Kami (polis) dan bomba akan jalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, semalam itu, Afikah Sulaiman, 20, dan dua anaknya, Nurul Katrishah Aiman, 3, serta Mohd Sharil Aiman, 1, maut dalam kebakaran berkenaan.

Manakala, bapa mangsa, Sulaiman Amiril, 50-an, melecur di siku dan kaki kanan ketika cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa.

Sementara itu, sepupu Afikah, Jannalin Bahunding, 21, berkata, sebelum kejadian Afikah memasak bubur nasi untuk anaknya.

“Memang setiap pagi dia selalu masakkan bubur dan mungkin Afikah penat kerana sepanjang malam anaknya beberapa kali terjaga meminta susu.

“Mungkin Afikah tertidur lepas memasak bubur. Kami terdengar perbualan dia dan anaknya kerana rumah kami hanya bersebelahan sahaja,” katanya.

Tinida Alnes, 61, ibu saudara mangsa berkata, sebelum kejadian Afikah teringin makan bakso di gerai di Karamunting namun mereka tidak sempat pergi kerana mempunyai urusan lain.

“Kami berjanji keluar makan bersama rakan serta keluarga lain selepas solat Jumaat. Lagipun semalam adalah hari dia bercuti kerja sebagai pelayan di gerai makan,” katanya.

Harian Metro dimaklumkan, jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan kira-kira jam 9 malam, semalam, di Tanah Perkuburan Islam berdekatan Kampung Seng Kee.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *