‘Perkataan Taubat Tak Sesuai Untuk Saya’ – Aliff Syukri

KUALA LUMPUR: Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri tetap dengan pendirian yang menganggap tindakannya berjumpa dan menyiarkan rakaman bersama balu Allahyarham Abam Boceh, Siti Nurhidayah Mohd Ali pada Rabu lalu bukan satu kesalahan.

Malah, Aliff Syukri menyatakan perkataan taubat yang ditujukan kepadanya berdasarkan kenyataan daripada pelawak, Ali Puteh semalam, adalah tidak sesuai.

“Perkataan taubat itu tak sesuai untuk saya. Saya bukannya merompak dan merogol orang. Saya tidak fikir pertemuan dengan Nurhidayah satu kesalahan besar. Malah, saya tidak menjangka perkara ini boleh mencetuskan kontroversi.

“Sebenarnya, antara mereka sudah wujud konflik. Cuma, kehadiran saya membuatkan Nurhidayah nak bercerita. Dia mengizinkan segala perbualan dirakam dan disiarkan. Jadi, adakah itu kesalahan saya?

“Tidak fasal-fasal saya pula yang menjadi mangsa dan dipersalahkan. Sedangkan niat saya nak ziarah dan berikan zakat dan sumbangan pada mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aliff, dia sekarang tersepit dan merana dengan apa yang berlaku ditambah selepas mendapat pelbagai kecaman daripada warganet.

Aliff berkata, dia akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan dan menjawab segala persoalan timbul.

”Sekarang saya tersepit dan merana. Saya malas nak gaduh dengan pihak sana. Apa boleh dikatakan, saya juga ada cukup bukti bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Video yang disiarkan itu baru 10 peratus. Ada lagi perkara lain yang masih disimpan. Cuma, saya tidak mahu mengaibkan sesiapa.

“Jadi, tunggu penjelasan lanjut daripada saya pada sidang media Isnin ini,” katanya.

Terdahulu, adik Allahyarham Abam, Ali Puteh dalam sidang media, semalam, mengakui sangat terguris dengan tindakan Aliff Syukri yang menjadikan waktu pilu dihadapi keluarganya sebagai kesempatan untuk menangguk di air keruh.

Ali berkata dia bersyukur dengan niat ikhlas usahawan itu memberi sumbangan kepada balu arwah abangnya, tetapi sedih kerana secara tidak langsung sudah memecah belahkan silaturahim keluarga kedua pihak.

Dalam kenyataan sama, Ali memohon supaya ahli perniagaan itu kembali bertaubat selepas menjaja cerita tidak elok mengenai keluarganya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *