Dua Maut Cuba Melarikan Diri Dari Diperiksa Polis

Keadaan dua remaja maut selepas dipercayai merempuh sebuah kenderaan ketika melarikan diri daripada polis di persimpangan lampu isyarat Rampayan, Jalan UMS, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Akibat cuba melarikan diri daripada diperiksa polis, dua remaja lelaki temui ajal bersama apabila motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kenderaan jenis Izusu D Max dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Rampayan, Jalan UMS di sini pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 pagi. Kedua-dua remaja berusia 14 dan 18 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Likas.

Keadaan dua remaja maut selepas dipercayai merempuh sebuah kenderaan ketika melarikan diri daripada polis di persimpangan lampu isyarat Rampayan, Jalan UMS, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sebelum kejadian anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ternampak sebuah motosikal jenis Yamaha LC dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika keluar simpang Kampung Gudon.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota URB itu, motosikal dinaiki kedua-dua remaja terbabit memecut laju untuk lari daripada pemeriksaan polis sebelum dikejar.

“Sebaik tiba di lampu isyarat Rampayan, motosikal dinaiki dua remaja lelaki itu melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda D Max yang dalam perjalanan dari 1Borneo menuju ke Kampung Dambai, Rampayan.

Antara remaja yang maut selepas dipercayai merempuh sebuah kenderaan ketika melarikan diri daripada polis di persimpangan lampu isyarat Rampayan, Jalan UMS, Kota Kinabalu.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua remaja terbabit terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata pemeriksaan mendapati motosikal yang digunakan oleh remaja itu adalah motosikal curi di Manggatal pada 26 Januari lalu.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal kerana menunggang secara melulu dan bahaya hingga menyebabkan kematian.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Keadaan kereta D Max turut rosak akibat dirempuh oleh motosikal dinaiki dua remaja lelaki terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *