Covid-19: Seramai 190 Penuntut Warga China UMS Dikuarantin

Dr Taufiq memberi amanat kepada warga UMS di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu. Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seramai 190 penuntut warga China di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga daripada penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Naib Cancelor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, semua penuntut itu membabitkan mereka yang pulang daripada bercuti dan ada rekod menerima lawatan ahli keluarga dari China.

Gambar Hiasan

“Kami meminta penuntut-penuntut itu tinggal di rumah dan pemantauan dibuat setiap hari bagi memantau keadaan mereka selain memberi mereka motivasi.

“Setakat ini semuanya baik-baik sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada warga UMS di Dewan Canselor UMS, di Kota Kinabalu, semalam.

Menurutnya, UMS mempunyai 352 penuntut berasal dari China.

“Semua mereka adalah bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau berkata, sebelum isu Covid-19 tersebar, UMS menerima kehadiran sehingga 1,000 pelancong setiap hari, namun kini berkurangan.

“Sejak wabak ini merebak, jumlah pelancong yang ke UMS menurun hanya 100 orang setiap hari.

“UMS berhasrat menambah dua lagi pusat tarikan pelancongan baharu tahun ini iaitu Galeri Azman Hashim dan Pusat Sains UMS,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *