20 Meter Saja, OKT Lari Ditahan Semula

Suspek ditahan semula selepas cuba melarikan diri.

KOTA KINABALU: Seorang Orang Kena Tahan (OKT) yang melarikan ketika dibawa menaiki lori polis selepas selesai urusan reman di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini, berjaya ditahan semula.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari, suspek berusia 34 dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi tujuan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Ketika suspek hendak dinaikkan ke dalam lori polis sebaik selesai dibacakan permohonan reman, dia bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil siasatan mendapati, OKT dipercayai melucutkan tangannya daripada gari sebelum melarikan diri.

“Anggota polis yang melihat kejadian itu segera mengejar suspek dan berjaya menangkap suspek di kawasan semak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

“OKT mengalami bengkak di pergelangan tangan kanan kerana tindakannya untuk meloloskan tangannya daripada gari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana suspek boleh meloloskan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *