Lelaki Disyaki Pemburu Haram Guna Bakakuk Ditahan

Suspek ditahan di Balai Polis Kuala Penyu.

BEAUFORT: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemburu haram di daerah ini, ketika membuat laporan polis kononnya kereta anaknya dicuri, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, suspek berusia 64 tahun itu dipercayai melarikan diri bersama dua rakannya ketika cuba ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan memburu haram di ladang ternakan kerbau Kampung Padas Damit, di sini, jam 5.30 petang pada 18 Februari lalu.

Beliau berkata, ketika itu, polis sedang membuat pemerhatian terhadap sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Tidak lama selepas itu, polis terdengar bunyi satu tembakan dari arah kebun kelapa sawit. Anggota kita kemudian menjalankan siasatan dan menemui tiga lelaki masing-masing membawa laras senjata api jenis bakakuk.

“Menyedari kehadiran polis, suspek pura-pura cuba memberi kerjasama dengan menyerahkan dua senjata api itu kepada polis tetapi selepas meletakkan senjata api itu, ketiga-tiga suspek terus melarikan diri sambil membawa satu laras senjata api ke kawasan hutan.

“Anggota polis kemudian bertindak mengejar dan menjumpai satu laras senapang bakakuk bersama dua butir peluru hidup manakala suspek meloloskan diri ke kawasan hutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan akhirnya mengetahui rumah suspek yang terletak di Kuala Penyu dan berdasarkan maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba di rumah, suspek dikatakan berada di Balai Polis Kuala Penyu dipercayai untuk membuat laporan polis bahawa kereta milik anaknya hilang dicuri.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut dan polis sedang giat mengesan dua lagi rakan suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1969.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *