Dalang Jenayah Rentas Sempadan Di Timur Sabah Dikenal Pasti

SANDAKAN: Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sudah mengenal pasti pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadi tali barut kepada sindiket tertentu untuk melakukan jenayah di timur Sabah.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya giat melakukan pemantauan terhadap kumpulan yang dikenal pasti dan akan mengambil tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, pihaknya juga mendapat maklumat yang mendedahkan senjata api turut diseludup masuk ke pantai timur negeri ini, namun belum ada tangkapan dibuat berkaitan kes itu sejak beliau mengambil alih sebagai komander Esscom.

Hazani Ghazali

“Kita cukup khuatir sebab Sabah dikatakan sebagai transit untuk ‘foreign fighter’ yang bergerak antara Filipina, Indonesia dan Malaysia.

“Kita dengan pasukan keselamatan tiga negara (Malaysia-Filpina-Indonesia) bekerjasama sepenuhnya untuk berkongsi maklumat risikan yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian bercakap kepada pemberita selepas Sesi Pertemuan dan Dialog Esscom bersama Komuniti Nelayan di Pulau Jampiras, dekat sini hari ini.

Mengenai lawatan ke pulau itu, Hazani berkata, ia bagi menepis tanggapan pihak yang mengatakan ia adalah kawasan hitam.

Selain Essco , katanya, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan juga pernah melakukan program kepolisan komuniti di pulau itu.

“Kita nak buktikan keadaan (aman), orang kata hitam kita nak masuk untuk bersama masyarakat menunjukkan yang masyarakat Jampiras adalah penyokong pasukan keselamatan, bersama-sama mahu mempertahankan keselamatan yang kita nikmati hari ini,” katanya.

Hazani turut menggesa masyarakat di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) agar bekerjasama menyalurkan maklumat yang menyalahi undang-undang kepada pasukan keselamatan demi memastikan keamanan terus dikekalkan.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *