228,767 Dekoder MyFreeview Percuma Untuk B40 Di Sabah

Gobind (tiga kanan) menyampaikan unit dekoder myFreeview kepada salah seorang penerima pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Seramai 228,767 isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan orang kurang upaya (OKU) di Sabah menerima manfaat dekoder percuma myFreeview yang diberikan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan diuruskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif rakyat itu dilaksanakan bagi memastikan golongan tersebut mendapat bantuan sewajarnya dan tidak ketinggalan dalam meniti arus perkembangan global.

Beliau berkata, melalui myFreeview, rakyat dapat menonton sebanyak 14 saluran televisyen digital dan enam saluran radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) tanpa yuran bulanan seperti yang dikenakan syarikat penyiaran swasta.

“Kerajaan tetap akur dan mengiktiraf keperluan rakyat terutama golongan seperti B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam meniti arus perkembangan digital.

“Menyedari hakikat ini dan selaras dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama, kementerian ini telah mengambil inisiatif untuk mengagihkan dekoder percuma kepada golongan B40 dan OKU demi memastikan golongan ini tidak ketinggalan dalam mengakses informasi secara mudah.

“Kerajaan tetap prihatin terhadap kebajikan golongan B40 dan OKU sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan ini terjaga dan tidak ketinggalan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview kepada Isi Rumah B40 dan OKU di Kompleks Bersepadu KKMM hari ini.

Setakat ini, sebanyak 177,767 isi rumah di Sabah telah pun menerima dekoder berkenaan yang mula diberikan sejak tahun lalu manakala sebanyak 51,000 isi rumah lagi akan menerimanya selepas ini.

Secara keseluruhan, sebanyak dua juta dekoder myFreeview diedarkan di seluruh negara termasuk tambahan 300,000 unit tahun ini dengan jumlah kos RM30 juta yang ditanggung sepenuhnya kerajaan.

MyFreeview menawarkan 14 saluran televisyen iaitu TV1, TV2, TV Okey, Berita RTM, RTM Sports, TV3, ntv7, 8TV, TV9, CJ Wow Shop, Bernama TV, TV Al Hijrah dan Astro Go Shop serta enam saluran radio RTM iaitu Nasional FM, Asyik FM, Klasik Nasional, Traxx FM, Ai FM dan Minnal FM.

Gobind berkata, myFreeview juga kini menggunakan siaran televisyen berasaskan Analogue Switch-Off (ASO) yang lebih berkualiti tinggi berbanding  TV analog yang digunakan negara selama 56 tahun sebelum ditamatkan tahun lalu.

“Malaysia kini telah beralih daripada siaran TV analog kepada siaran TV digital myFreeview sepenuhnya yang ditawarkan secara percuma tanpa yuran bulanan, peralihan ini memberikan satu anjakan serta peluang kepada pengamal industri penyiaran dalam usaha mencorak dan mengukir wajah baharu dunia penyiaran tanah air.

“Pada hari ini, rakyat dapat menikmati siaran TV digital myFreeview melalui penggunaan dekoder dan Integrated Digital TV (IDTV) yang di sambungkan kepada antena luaran atau dalaman, bagi mereka yang masih belum mendapatkan dekoder atau IDTV tersebut, saya menyeru agar segeralah lakukan sedemikian bagi menikmati siaran TV digital myFreeview secara percuma yang menawarkan pelbagai pilihan saluran TV dengan kualiti audio dan visual definisi tinggi atau ‘High Definition’ (HD),” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *