587 Lagi PATI Filipina Dihantar Pulang

KOTA KINABALU : Proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) diteruskan dengan pengusiran 587 orang PATI warganegara Filipina pulang ke negara asal mereka, semalam.

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah (MKN Sabah) dalam satu kenyataan memaklumkan pengusiran itu adalah pengusiran siri ke-sebelas melalui laut pada tahun 2020.

Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 2,915 PATI warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam telah diusir melalui udara sepanjang Januari dan Februari ini.

Jelasnya, jumlah  pengusiran sejak tahun 1990 sehingga kini  adalah seramai 594,172 orang.

Katanya, MKN Sabah akan terus menyelaras tanggungjawab bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pelbagai agensi yang lain untuk mengusir  PATI pulang ke negara asal.

“MKN Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam membantu menjayakan proses pengusiran PATI.

“Namun demikian, tanggungjawab membanteras kebanjiran PATI bukanlah terletak di bahu kerajaan semata-mata, kerjasama daripada orang awam juga adalah amat perlu.

“Orang awam diminta untuk tidak bersekongkol dalam melindungi PATI di negeri ini,”kata kenyataan itu.

Tambahnya, kejayaan menangani PATI bergantung dengan peranan dan kerjasama daripada semua pihak.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *