Perpaduan Nadi Pembangunan Negeri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal mahu rakyat di negeri ini terus memperkasa perpaduan yang ada bagi memastikan usaha membina sebuah negara maju dapat dijayakan.

Beliau berkata, dalam mengukuhkan perpaduan, rakyat berbilang kaum di negeri ini perlu berusaha mencari titik persamaan serta mengecilkan perbezaan yang ada.

Katanya, sekiranya perbezaan itu berjaya diurus dengan penuh toleransi maka, ia pasti mampu memperkukuhkan perpaduan sedia ada hingga menjadi kekuatan dan nadi kepada transformasi sebuah negeri serta negara.

Tambahnya, dalam berdepan cabaran global, kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan pembangunan modal insan harus menjadi agenda transformasi utama dan indikator kepada sebuah negara maju yang seimbang.

”Kesejahteraan sesebuah negara, memerlukan integrasi, keikhlasan dan komitmen semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus mekar.

“Kita sedar Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang komited dan progresif serta sentiasa berusaha untuk melunaskan pedoman qurani agar ianya dapat dihayati oleh setiap umat Islam di negara ini.

“Al- Quran akan menjadi pelindung diri bagi sesiapa sahaja yang membacanya, memahami serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian, maka jadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan, di sini semalam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong.

Mohd Shafie juga mahu kemuliaan dan keberkatan majlis itu dimanfaatkan dengan memantapkan kesatuan dan perpaduan bagi menjadi umat yang terbaik.

“Penting bagi kita untuk memacu pembangunan negara dan menjana kecemerlangan ummah berpandukan tuntutan Al-Quran dan Sunnah,” jelasnya.

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran yang berlangsung pada 16 hingga 21 Februari ini memperlihatkan penyertaan seramai 108 orang peserta.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau dan Datuk Christina Liew; Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *