Penunggang Motosikal Maut Rempuh Tebing Jalan

Motosikal ditunggang mangsa tercampak ke atas jalan raya selepas terbabas akibat hilang kawalan.

TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak lalu merempuh tebing kiri jalan raya di simpang Pejabat Urusetia Jalan Lama Tuaran, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kemalangan yang menimpa penunggang motosikal berusia 32 tahun itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.30 pagi.

“Mangsa dipercayai menunggang motosikalnya dari arah Kg Marabahai menuju ke arah Pekan Tuaran sebelum terbabas ke sebelah kiri dan melanggar tebing jalan,” katanya.

Hamizi berkata kejadian berkenaan menyebabkan motosikal dan penunggangnya tercampak ke atas jalan raya, malah lelaki itu mengalami kecederaan parah di kepala.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mengesyaki penunggang motosikal terbabit menunggang dengan laju sebelum terbabas akibat hilang kawalan tunggangan.

“Polis membuka kertas siasatan terhadap kemalangan ini serta mengklasifikasikannya sebagai kes Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *