Pakatan Baru Pembangkang Sabah Akan Dikenali Sebagai Gabungan Sabah

Pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan berkata, rancangannya ialah untuk membolehkan semua pemimpin dan parti pembangkang di negeri itu bekerjasama bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 pada pilihan raya umum ke-15.

KOTA KINABALU: Rancangan pembangkang untuk menggabungkan parti masing-masing ke dalam sebuah parti lebih besar telah dibatalkan, kata pemimpin Parti Solidariti Tanah airku Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata, perbincangan dalam kalangan pemimpin pembangkang di negeri itu semalam memutuskan bahawa parti yang lebih besar akan membentuk pakatan, sementara parti yang lebih kecil akan bergabung bagi membentuk sebuah parti baru.

Jeffrey berkata, seperti dinyatakan oleh presiden Parti Bersatu Sabah Maximus Ongkili bahawa beliau tidak berminat untuk membubarkan parti pimpinannya itu bagi memberi laluan kepada rancangan menubuhkan “sebuah parti tunggal yang besar”.

Ongkili berkata, partinya tidak boleh dibubarkan kerana ia berusia lebih 30 tahun dan berkait rapat dengan sejarah Sabah.

Jeffrey berkata, pemimpin Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee juga tidak bersetuju dengan idea itu.

“Penggabungan parti merupakan antara cadangan awal, tetapi ia diubah dalam mesyuarat susulan semalam.

“Kami memutuskan parti yang tidak aktif digabungkan. Parti besar akan menjadi sebahagian daripada pakatan itu.

“Rancangannya ialah untuk membolehkan pemimpin dan parti pembangkang bekerjasama bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 pada pilihan raya umum ke-15,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan tahun Baru Cina MCA Sabah di sini, hari ini.

Parti tidak aktif yang dimaksudkan ialah Parti Cinta Sabah, Parti Gagasan Rakyat Sabah dan Parti Kerjasama Anak Negeri.

Sementara itu parti besar yang disebut oleh Jeffrey mungkinlah PBS, PBRS dan parti pimpinannya Star Sabah.

Semalam, PBS berkata, ia tidak terlibat dengan idea “parti tunggal” yang dibincangkan pada pertemuan pertama pemimpin pembangkang negeri itu yang dipengerusikan oleh bekas ahli Parlimen Kimanis, Anifah Aman pada 10 Feb.

Pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perbincangan berkenaan termasuklah Jeffrey, Yong (SAPP), Wilfred Bumburing (Parti Cinta Sabah), Francis Goh (Parti Gagasan Rakyat Sabah) dan Henrynus Amin (Parti Kerjasama Anak Negeri.

Turut hadir Adun Star Sabah bagi Bingkor, Robert Tawik; bekas pemimpin Upko Marcus Mojigoh, Adun Nabawan Ellron Angin; bekas wakil rakyat Petagas James Ligunjang dan pemimpin MCA Sabah Dr Pamela Yong.

Anggota Majlis Tertinggi Upko, Ewon Ebin turut hadir dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat yang dinamakan “Perpaduan Rakyat” itu dianggap perhimpunan terbesar melibatkan pemimpin parti politik Sabah sejak penghijrahan keluar besar-besaran pemimpin Umno pada Disember 2018.

Jeffrey berkata, cadangan pakatan itu akan dikenali sebagai Gabungan Sabah (GS), dengan menambah bahawa nama itu sedang dalam proses pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan.

Jeffrey juga berharap PBS akan mengubah pendiriannya dan menyokong pembentukan GS.

Parti pembangkang Sabah bercempera selepas pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hampir terhapus sama sekali.

Parti seperti Upko, PBS, PBRS dan LDP meninggalkan BN satu persatu selepas pilihan raya itu, sementara MIC Sabah dibubarkan. Parti yang masih kekal dalam BN Sabah hanyalah Umno dan MCA negeri itu.

Pada ketika itulah PBS, Star Sabah dan Umno Sabah berusaha membentuk satu pakatan baru, juga dinamakan Gabungan Sabah bagi menggantikan BN dengan syarat Umno tidak lagi wujud di negeri itu.

Ini mengakibatkan berlakunya penghijrahan keluar besar-besaran pemimpin Umno Sabah pada 18 Dis.

Mereka kemudiannya menubuhkan PPBM negeri tersebut.

PPBM Sabah hari ini bekerjasama dengan parti pemerintah Sabah, iaitu Warsain Sabah, PKR Sabah, DAP Sabah dan Upko.

Penarikan diri pemimpin Umno daripada barisan pembangkang menyebabkan Star Sabah dan PBS terpaksa meminggirkan usaha pembentukan GS sebelum ini.

Sumber: FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *