PBS Tidak Berminat Sertai Pakatan Baru ‘Perpaduan Rakyat’

Presiden Parti Bersatu Sabah Maximus Ongkili (3 dari kanan) bergambar ramai dengan pemimpin bahagian parti itu di Matunggong hari ini.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini berkata ia tidak terlibat dalam pembentukan pakatan baru parti pembangkang di negeri itu yang dikenali sebagai Perpaduan Rakyat.

Presiden PBS Maximus Ongkili berkata parti itu merupakan parti tertua di Sabah dan tidak akan menjejaskan dirinya bagi memberi laluan kepada satu pakatan politik baru.

Rancangan untuk menubuhkan pakatan baru itu dibuat pada mesyuarat pemimpin pembangkang di Penampang baru-baru ini dan dipengerusikan oleh bekas ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman.

Presiden PBS Maximus Ongkili berucap pada mesyuarat pemimpin bahagian parti itu di Matunggong.

Kumpulan itu memutuskan untuk menggabungkan parti masing-masing bagi membentuk satu parti yang lebih besar terdiri daripada semua pemimpin pembangkang.

Perbincangan yang diadakan pada 10 Feb lalu juga turut melibatkan PBS, tetapi FMT diberitahu wakil parti itu tidak dapat hadir kerana “faktor kesihatan.”

Ongkili berkata, PBS akan terus mengukuhkan parti dan bersedia untuk pilihan raya umum akan datang.

“PBS sebenarnya dijemput untuk acara Perpaduan Rakyat yang diketuai oleh Anifah Aman baru-baru ini.

“Bagaimanapun, parti memilih untuk memberi tumpuan kepada keutamaan kami, iaitu mengukuhkan akar umbi, menubuhkan cawangan baru, merekrut anggota baru di peringkat bahagian, dan mengadakan mesyuarat tahunan kami, yang sedang berjalan sekarang,” katanya.

Ongkili berkata kenyataan yang dibuat oleh pemimpin “Perpaduan Rakyat” menunjukkan mereka berminat untuk membentuk satu parti.

“Ini mungkin memerlukan pembubaran di pihak rakan kongsi yang sedia ada. PBS tidak berminat dengan perkiraan sedemikian.”

Bercakap dalam satu majlis parti di Matunggong, 135km dari sini, Ongkili menegaskan bahawa PBS terbuka untuk bekerjasama dengan pihak yang berfikiran sama yang mengongsi perjuangan parti, terutamanya mengenai isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

“Pembersihan Sabah daripada dominasi dan pencerobohan pendatang tanpa izin dan usaha untuk mendapatkan pembangunan yang saksama sememangnya menjadi sebahagian daripada perjuangan kita.

“Sementara kita terbuka untuk bekerjasama, kepimpinan parti telah memutuskan untuk mengukuhkan jentera dan memberi tumpuan kepada Sabah dan rakyat Sabah.

“Kami lebih gembira untuk bekerjasama rapat dengan parti pembangkang lain, terutamanya pada pilihan raya umum ke-15.”

Ongkili berkata, PBS telah wujud sejak lebih 3 dekad dan mempunyai bahagian parti di semua 60 kerusi negeri, termasuk Labuan.

Beliau berkata parti itu kini mahu mewujudkan pejabat di 13 kerusi negeri yang baru diwujudkan. Ia telah mewujudkannya di Limbahau dan Tulid.

Sumber: FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *