Manchester City Digantung 2 Tahun, Dilarang Sertai Semua Kejohanan Eropah

NYON, Switzerland: Manchester City digantung daripada menyertai kejohanan Eropah selama dua musim kerana melanggar peraturan fair-play kewangan, umum Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang keputusannya dicabar oleh kelab.

City, yang turut didenda 30 juta euro (RM134.5 juta), mengumumkan akan merayu penggantungan itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) secepat mungkin.

“Machester City kecewa tetapi tidak terkejut dengan pengumuman oleh UEFA,” kata kelab itu. “Secara ringkasnya, kes ini dicetus oleh UEFA, didakwa oleh UEFA dan dihakimi oleh UEFA. 

“Kelab akan mengambil tindakan susulan di CAS secepat mungkin.”

City kendalian Pep Guardiola akan berdepan Real Madrid dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara musim ini.

UEFA dalam kenyataannya mengumumkan yang mereka mengenakan tindakan disiplin ke atas Manchester City di mana kelab itu dilarang daripada menyertai sebarang kejohanan Eropah untuk dua musim akan datang.

Badan induk bola sepak Eropah itu berkata, City gagal memberi kerjasama dalam siasatan.

Ini bukan kali pertama City didakwa melanggar peraturan kewangan bola sepak. Sebelum ini mereka didenda 60 juta euro (RM269 juta) pada tahun 2014. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *