Kolej Arah Pelajar Perempuan Buka Pakaian Untuk Pemeriksaan

Institut Wanita Shree Sahjanand (SSGI). – Foto Twitter

AHMEDABAD, INDIA : Sekurang-kurangnya 68 penuntut di Institut Wanita Shree Sahjanand (SSGI) di Bhuj, Gujarat berdepan saat memalukan apabila dipaksa membuka pakaian dalam masing-masing untuk membuktikan mereka tidak didatangi haid.

Kesemua penuntut itu kini menuntut tindakan undang-undang diambil ke atas pihak berkuasa pendidikan, susulan perbuatan terbabit.

Mereka diarah membuka pakaian selepas sekeping tuala wanita terpakai ditemui di taman di luar premis SSGI, yang menjadi kawasan larangan untuk semua penuntut sekiranya didatangi haid.

“Tiada perkataan dapat mengungkapkan penghinaan yang kami terima,” kata seorang penuntut terbabit, dalam bantahan di luar bangunan kolej, barat Gujarat itu.

Di sebahagian besar tempat di India, haid masih dianggap satu perkara memalukan malah di beberapa kawasan pedalaman, kaum wanita perlu mengasingkan diri dari tempat tidur, selain dilarang memasuki kuil sepanjang tempoh itu.

Dalam kenyataan kepada wartawan, kumpulan pelajar terbabit memberitahu, mereka diarah berbaris di tandas dan membuka pakaian masing-masing seorang demi seorang.

Kolej itu dikendalikan fahaman Hindu dari aliran konservatif, dikenali sebagai Swaminarayan.

Aliran berkenaan memiliki rangkaian kuil mewah di seluruh dunia, termasuk di London.

Antara peraturan tidak munasabah dilaksanakan kolej itu termasuk melarang pelajar bermalam di asrama setiap kali mereka didatangi haid.

Mereka akan ditempatkan di kawasan bawah tanah yang terpencil serta diasingkan dari ruang dapur atau tempat sembahyang. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *