Kenapa Pecat Setiausaha Politik Timbalan KM Sabah, Soal Rahman Dahlan

Rahman Dahlan

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Rahman Dahlan menggesa kerajaan negeri Sabah menjelaskan kenapa ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar dipecat daripada jawatannya sebagai setiausaha politik timbalan ketua menteri.

Beliau menyoal sama ada langkah itu berkait dengan satu dialog antara Ahuar dengan penduduk pribumi di Kampung Tatalaan II di Nabawan pada 13 Feb lepas.

Rahman berkata, penduduk setempat membuat aduan tentang aktiviti pembalakan yang dijalankan oleh sebuah syarikat di tanah masyarakat mereka.

Ketua Pemuda PKR Sabah Raymond Ahuar (tengah) memeriksa kayu balak yang ditebang di Kampung Tatalaan II di Nabawan.

“Masyarakat Murut di kawasan itu membuat aduan tentang kegagalan syarikat pembalakan tersebut menyukat dan mengagihkan plot tanah kepada mereka.

“Kegagalan ini menyebabkan mereka tidak layak untuk menerima geran plot tanah itu,” katanya di Facebook hari ini.

Rahman berkata, Raymond, yang juga merupakan ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri, hanya menjalankan tugasnya untuk melindungi kepentingan masyarakat Murut di Kampung Tatalaan II.

Raymond, yang belum menerima surat pemecatannya daripada setiausaha kerajaan berkata, beliau dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Menteri Christina Liew bahawa Ketua Menteri Shafie Apdal mencadangkan langkah pemecatan itu yang kemudiannya disokong oleh majoriti menteri Kabinet negeri.

“Apakah yang menyebabkan menteri Kabinet kerajaan Sabah begitu menggelabah sehingga sanggup memecat Raymond yang mempertahankan kepentingan masyarakat Murut daripada dipermainkan oleh syarikat pembalakan itu.

“Rakyat bertanya siapakah yang ada kepentingan langsung atau tidak langsung dalam syarikat tersebut sehinggakan Raymond dipecat begitu sahaja,” soal Rahman lagi.

Dalam pada itu Raymond berkata, kegiatan pembalakan yang dijalankan di kampung berkenaan melanggar hak masyarakat pribumi untuk tinggal di kawasan pedalaman Sabah.

Sumber: FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *