Jenazah Koperal Asman Ongkal Ditemukan Terapung

SANDAKAN: Jenazah Allahyarham Koperal Asman Ongkal, 37, yang hilang di laut selepas menyelamtkan mangsa bot karam berhampiran Jeti Pasar Umum Sandakan ditemukan pukul 6.22 petang ini.

Arwah ditemukan nelayan yang turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, ketika dijumpai, Allahyarham masih lengkap berpakaian sama seperti yang digunakan ketika hilang.

“Alhamdulillah, SAR hari ini berjaya menemukan Allahyarham di kawasan zon pencarian iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi perlanggaran semalam.

Anggota PGA yang hilang di laut selepas menyelamatkan mangsa bot karam.

“Jenazah Allahyarham telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sandakan malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi semalam, Allahyarham sedang menaiki bot bersama 36 penumpang lain dari pulau Kampung Tanjung Aru menuju ke Jeti Pasar Umum Sandakan.

Bagaimanapun, perjalanan tersebut bertukar tragedi apabila bot berkenaan berlanggar dengan sebuah kapal tunda lalu karam.

Sebelum karam, Allahyarham Asman menunaikan tanggungjawab sebagai anggota polis buat kali terakhir menyelamatkan mangsa-mangsa lain dengan berpaut pada bot-bot berhampiran.

Tindakan itu berjaya menyelamatkan semua mangsa kecuali Allahyarham yang tenggelam di laut dipercayai pada kedalaman kira-kira 30 meter.

Sementara itu, ahli keluarga Allahyarham turut berkumpul di jeti Maritim Malaysia selepas mendapat berita tentang penemuan tersebut.

Beberapa ahli keluarga dilihat menangis sebaik sahaja jenazah Allahyarham dibawa ke jeti tersebut.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Hospital Duchess Of Kent oleh pihak polis.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *