Bot Karam Sandakan: Mayat Anggota PGA Hilang Ditemui

Mayat Asman dibawa ke hospital untuk bedah siasat selepas ditemui hari ini.

SANDAKAN: Mayat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang hilang dalam insiden bot karam di perairan Sandakan ditemui terapung berdekatan lokasi kejadian kira-kira jam 6.22 petang tadi.

Koperal Asman Ongkal, 40, ditemui nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum kejadian dimaklumkan kepada agensi penyelamat.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki, berkata mayat mangsa ditemui satu kilometer dari lokasi pelanggaran bot.

“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan,” katanya pada sidang media, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi semalam, sebuah bot dinaiki 37 individu termasuk 28 pelajar karam selepas bertembung dengan sebuah bot nelayan yang sedang ditunda.

Asman yang juga seorang penumpang bot itu sempat menyelamatkan beberapa penumpang lain sebelum dilaporkan hilang.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *