UMNO Sedia Dengar Cadangan Bentuk Pakatan Pembangkang Sabah

Bung Moktar menerima borang kemasukan ahli baharu dan bekas ahli UMNO.

SANDAKAN: UMNO Sabah bersedia mendengar cadangan parti-parti pembangkang Sabah untuk membentuk satu pakatan politik baharu di negeri Sabah.

Pengerusi UMNO Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah sebagai sebuah organisasi yang sebelum ini tidak menyertai gabungan berkenaan.

“Bagaimanapun, Datuk Seri Anifah Aman menyatakan hasrat untuk bertemu UMNO Sabah dan kita (UMNO Sabah) akan tetapkan satu tarikh untuk membuat perbincangan berhubung perkara itu.

“Kita mahu dengar juga apa cadangan mereka yang perlu dibincangkan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas usaha parti pembangkang Sabah membuat pakatan politik baharu selepas Jelajah UMNO Sabah Majlis Perjumpaan 4 Peringkat, UMNO Bahagian Libaran di Hotel Pavilion di sini, pagi semalam.  

Dua hari lepas, beberapa pemimpin utama pembangkang Sabah bertemu di Penampang sebagai percubaan baharu untuk membentuk satu pakatan politik baharu.

Pertemuan dua jam yang dilaporan menggunakan slogan ‘Perpaduan Rakyat’ itu dikatakan dipengerusikan oleh bekas Menteri Luar yang juga mantan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merasakan pakatan itu merupakan satu keupayaan dan menambah kekuatan kepada pembangkang.

“Cuma kena perlu ada perbincangan yang memiliki platform yang lebih sesuai untuk diselaraskan dengan perjuangan UMNO Sabah,” katanya.

Sebelum itu dalam ucapannya, Bung Moktar mahu UMNO bahagian bersama pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri agar terus mendekati generasi muda melalui pelbagai program dan memberi penjelasan menepis sentimen negatif terhadap UMNO Sabah.

“UMNO bahagian juga perlu fokus kepada usaha memantapkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang,” katanya.

Dalam majlis itu, Bung Moktar diiringi Ketua UMNO Bahagian Libaran Suhaimi Nasir menerima 436 borang keahlian ahli baharu dan kemasukkan semula bekas ahli UMNO. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *