Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Alam Sekitar Dan Kebudayaan, Raymond Ahuar Dipecat

Raymond Ahuar tidak menyatakan sebab pemecatan tersebut. 

KOTA KINABALU: Ketua Cabang PKR Pensiangan Raymond Ahuar telah dipecat daripada jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Dalam satu kenyataan hari ini, Raymond berkata telah dihubungi untuk hadir berjumpa dengan Christina di pejabat beliau yang kemudian memaklumkan pemecatannya benar.

“Isu pemecatan saya dibawa ke Mesyuarat Kabinet negeri Sabah dan diusulkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah serta mendapat sokongan majoriti anggota kabinet.

“Datuk Christina Liew juga memaklumkan beliau akan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan notis pemecatan secepat mungkin,” kata Raymond.

“Saya menerima pemecatan saya dengan hati yang terbuka seperti mana saya menerima tanggungjawab ini dengan hati yang terbuka dahulu,” tambah beliau lagi.

Namun, Raymond tidak menjelaskan sebab pemecatan itu.

Katanya dia cuma maklum satu berita yang tular di media sosial menyatakan dia telah dipecat semasa dalam perjalanan ke ibu negeri selepas melawat beberapa kawasan di Pedalaman Pensiangan dan memandangkan dia tidak tahu perkara sebenar maka memilih untuk tidak menjawab pertanyaan melalui aplikasi WhatsApp.

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana memberikan kepercayaan kepada saya sejak setahun enam bulan yang lalu bagi menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

“Saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Malaysia Baru,” katanya.

Raymond berkata selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah serta Naib Ketua Pemuda Pakatan Harapan pusat, beliau akan “terus memimpin anak muda untuk menentang korupsi, ketirisan dan salahguna kuasa dalam kerajaan hari ini serta menyampaikan suara anak muda Sabah agar didengari pemimpin di peringkat negeri mahupun persekutuan.”

“Saya akan melaksanakan tanggungjawab selaku Ketua Cabang Keadlian Pensiangan dan Ahli Majlis Pimpinan Keadilan Pusat bagi membawa suara rakyat agar sampai kepada pengetahuan pemerintah berkenaan keluhan dan keperluan rakyat.

“Saya juga akan terus mendokong kerajaan dalam melaksanakan manifesto Pakatan Harapan serta mengangkat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *