PPM Tawau Gagalkan Cubaan Seludup Periuk & Cooler Box

Bot membawa barangan berkenaan. Foto Ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan seorang wanita membawa keluar perkakasan dapur bernilai RM28,635.00 menerusi Ops Gelora di kawasan perairan Pelabuhan Tawau, di Tawau, semalam.

Wanita warga Indonesia berusia 53 tahun itu yang menaiki sebuah bot laju ditahan untuk pemeriksaan ketika dalam perjalanan menuju ke Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, kira-kira 7 pagi.

Periuk dan cooler box tersebut. – Foto Ihsan PPM

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati bot laju yang dikendalikan lelaki tempatan berumur 35 tahun itu sarat dengan muatan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas muatan di dalam bot laju itu mendapati beberapa kotak yang berisi periuk dan “cooler box” disyaki cuba dibawa keluar tanpa pelepasan daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Siasatan lanjut mendapati, wanita itu mengaku sebagai pemilik barang berkenaan untuk dijual dan dipasarkan di Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, mereka kemudiannya ditahan bersama barang rampasan sebelum dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Foto Ihsan PPM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *