5 Kematian Gajah Pygmy Di Sabah Dalam Tempoh Dua Bulan

KOTA KINABALU: Habitat Gajah Borneo di negeri ini semakin terancam selepas seekor lagi haiwan berkenaan ditemukan mati di sebuah ladang di Bagahak, Lahad Datu, di sini kelmarin.

Kematian itu merupakan kematian kelima gajah berkenaan yang direkodkan dalam tempoh dua bulan ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

CHRISTINA LIEW

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, bedah siasat mengenai punca kematian gajah itu telah dijalankan kelmarin.

“Biarpun kebanyakan kematian gajah ini berpunca daripada keracunan sama ada disengajakan atau tidak, belum ada keputusan konslusif diperoleh melalui analisis toksikologi yang dilakukan sebelum ini.

“Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah kini sedang berusaha untuk menghantar sampel tisu gajah ini bagi analisa toksikologi spektrum yang lebih mendalam dan luas di Malaysia dan luar negara bagi mengetahui punca toksik.

“Biarpun proses ini memerlukan kita mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi, namun kita tidak akan membiarkan perkara ini berterusan tanpa mengetahui punca kematian gajah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod sebanyak 150 gajah dilaporkan mati dalam tempoh 10 tahun (2010-2019) dan hanya empat kes kematian manusia akibat konflik manusia-gajah dilaporkan dalam tempoh sama.

“Biarpun kita berdepan dengan kematian gajah yang berterusan berikutan konflik manusia-gajah namun, situasi di Sabah masih terkawal.

“Jika dilihat di Sri Lanka, pada tahun lalu sahaja 361 gajah dilaporkan mati dan 100 orang terbunuh berikutan konflik manusia-gajah.

“Keadaan ini hasil daripada kerjasama semua pihak dalam konflik membabitkan manusia dan gajah ini.

“Malah, kementerian juga bekerjasama erat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kepada usaha konservasi dan juga, industri perladangan bagi mengurangkan impak manusia-gajah,” ujarnya.

Christina berkata, Kerajaan Sabah juga meletakkan usaha pemuliharaan gajah sebagai keutamaan.

“Kemarin, Kabinet negeri Sabah telah meluluskan Pelan Tindakan Gajah Borneo bagi tempoh 10 tahun (2020-2029) untuk meningkatkan usaha perlindungan dan konservasi terhadap gajah Borneo.

“Kita akan memastikan populasi gajah ini terus dipelihara. Kita perlu memastikan kematian gajah ini dapat dikurangkan pada tahap minima sementara kita menyasarkan untuk ‘zero’ kematian,” jelasnya.

Empat kematian gajah yang direkodkan sebelum ini melibatkan dua ekor gajah betina, seekor gajah jantan dan seekor anak gajah berusia dua tahun yang ditemukan mati di Kinabatangan, Sandakan dan Lahad Datu.

Dua gajah betina ditemukan mati di Ladang Sentosa, Sukau dan Ladang Tangkulap IOI berhampiran Hutan Simpan Deramkot, Sandakan masing-masing pada 8 Feb dan 10 Feb lalu.

Pada 26 Jan lalu, seekor gajah jantan ditemukan mati di sebuah ladang di Sukau, Kinabatangan.

Manakala, anak gajah berusia dua tahun itu dilaporkan mati pada 12 Jan lalu akibat kecederaan yang dialami.

Anak gajah ini diselamatkan oleh Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) ketika terjatuh dalam sebuah longkang berlumpur pada 13 Dis tahun lalu di sebuah ladang di Kinabatangan. Ia kemudian ditempatkan di Sepilok sebelum dilaporkan mati.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *