ESSCOM Tahan 15 Pendatang Asing Tanpa Izin

SANDAKAN: Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi Gasak Laut yang dilancarkan di sekitar Kampung Gelam, tengah malam tadi.

Kesemua PATI berusia antara lima hingga 50 tahun ditahan dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, seramai 103 orang diperiksa dalam operasi itu dengam 15 ditahan kerana tiada sebarang pengenalan diri.

Katanya, operasi itu disertai 160 anggota keselamatan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

“Operasi ini dilancarkan bertujuan untuk mengekang kemasukan dan kewujudan PATI yang disyaki menjadi tali barut kepada kumpulan Kidnapping for ransom (KFRG) teutamanya di kawasan ‘hotspot’ termasuk perkampungan setinggan atas air yang sentiasa dijadikan ‘staging points’ selain menjadi tempat persembunyian penjenayah.

“Ini juga untuk menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan, sekali gus mewujudkan elemen cegah rintang di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hazani berkata, semua PATI yang ditahan dibawa ke pusat tahanan sementara (PTS) Sandakan untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal.

Hazani berkata, SESB juga melaksanakan operasi pemotongan terhadap rumah setinggan yang didapati membuat penyambungan elektrik secara haram dan memotong serta merampas lebih 50 kilogram wayar elektrik.

Katanya, Esscom akan terus memperkasa operasi gasak pada masa akan datang dalam usaha memburu saki-baki tali barut KFR.

“Jika operasi seumpama ini tidak dilaksanakan secara berterusan terutama di kawasan ‘hotspot’ dan kawasan tertentu yang disyaki menjadi tempat kegiatan dan persembunyian penjenayah, dikhuatiri ianya boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Beberapa ancaman telah dikenal pasti dan sering berlaku di kawasan hotspot di pantai timur Sabah perlu ditangani secara berkesan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada kegiatan jenayah rentas sempadan yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *