Bas Mini Terbalik, Pemandu & Penumpang Selamat

TAWAU: Dua penumpang sebuah bas mini dan pemandunya menempuh detik cemas selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbalik akibat dirempuh sebuah pacuan empat roda di Batu 4, Jalan Apas petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, seorang penumpang lelaki berusia 20-an cedera ringan, manakala dua lagi termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, terdahulu, bas mini tersebut dalam perjalanan dari bandar menuju ke Batu 8, Jalan Apas.

“Pemandu bas berumur 48 tahun itu kemudiannya memberhentikan kenderaan di perhentian bas di situ.

“Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux  yang dipandu seorang lelaki berumur 40-an, datang dari arah belakang dan hilang kawalan secara tiba-tiba menyebabkannya melanggar bas terbabit,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan bas mini tersebut terbalik di bahu jalan.

Peter berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Toyota Hilux yang gagal mengawal pemanduannya.

“Kedua-dua pemandu kenderaan tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *