153 PATI Filipina Dihantar Pulang Ke Negara Asal

Sandakan : Seramai 153 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, termasuk 18 wanita dan 12kanak-kanak dihantar pulang ke negara asal mereka bermula jam 7 malam tadi.

Program pengusiran dan penghantaran pulang PATI itu adalah siri ke-10 untuk tahun ini yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi kerajaan yang lain.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kesemua PATI berkenaan diusir melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.

Beliau berkata, sehingga bulan Februari tahun ini sahaja, seramai 2,328 warga Filipina dan Indonesia sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menjadikan jumlah pengusiran sejak tahun 1990 berjumlah seramai 593,585 orang termasuk melalui udara.

“MKN komited dalam melaksanakan pengusiran dan menghantar pulang PATI demi menunaikan amanah dan kepercayaan rakyat yang tidak mahu melihat negara dan negeri ini dibanjiri dengan kehadiran PATI,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai agar tidak hanya meletakkan tanggungjawab membanteras kehadiran PATI kepada pihak kerajaan, sebaliknya membantu dengan menyalurkan maklumat mengenai kehadiran PATI kepada pihak berkuasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit memberikan komitmen tinggi dalam membantu menjayakan proses pengusiran itu.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *