Lebih Banyak Geran Tanah Untuk Penduduk Tinggal Kawasan Hutan Simpan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan menambah jumlah penyerahan  geran tanah individu kepada penduduk kampung yang tinggal lama di kawasan hutan simpan di negeri itu, tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata, pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada April nanti, beliau akan menyatakan tambahan jumlah geran tanah individu tersebut membabitkan di beberapa daerah di negeri ini.

Katanya, setakat ini, sebanyak 1,800 permohonan geran tanah individu telah diluluskan untuk diserahkan kepada penduduk kampung di Keningau.

Menurutnya, pada tahun ini, kerajaan negeri akan memberikan lebih 9,000 geran tanah individu kepada penduduk kampung yang tinggal lama dalam kawasan hutan simpan.

“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat di kawasan pedalaman.

Penyerahan geran tanah kepada penduduk ini kerana kita yakin bahawa rakyat kita perlukan tanah untuk mereka (penduduk) mencari nafkah.

“Pada masa sama, ia membolehkan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan itu termasuk dari segi penyediaan kemudahan asas,” katanya kepada Bernama semasa kunjungan hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Nurini Kassim dan Ketua Pengarang, Datuk Mokhtar Hussain di pejabatnya, di Likas, baru-baru ini. 

Menurutnya, perkara-perkara berkaitan kebajikan rakyat dekat di chatinya dan kerajaan negeri harus mengambil pendekatan untuk menyelesaikannya.

Katanya, ada masalah yang dihadapi rakyat boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat tetapi ada yang perlu mengambil masa.

Pada 21 Nov lalu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan rang undang-undang bagi meminda Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984 yang akan berkuat kuasa pada 19 Dis tahun lepas.

Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2019 itu bertujuan membubarkan seluas lebih kurang 1,637.563 hektar.

Pindaan enakmen itu juga bertujuan bagi menubuhkan lapan kawasan hutan simpan seluas 2,154.372 hektar iaitu hutan simpan kekal negeri yang baharu.

Kerajaan negeri berhasrat untuk membubarkan seluas lebih kurang 1,637.563 hektar kawasan hutan simpan negeri kerana terdapat kawasan perkampungan yang didiami oleh penduduk tempatan sejak sekian lama di kawasan hutan simpan terlibat.

Perkampungan yang dikeluarkan daripada kawasan hutan simpan ini akan diwartakan di bawah Ordinan Tanah bagi tujuan rizab perkampungan untuk rakyat dan kesemua kawasan ini melibatkan lebih kurang 90 perkampungan iaitu dengan kira-kira 3,800 rumah dan 20,000 penduduk.

Enakmen tersebut diluluskan, yang merupakan antara isi kandungan belanjawan negeri Sabah 2020 yang dibentangkan Mohd Shafie pada 15 Nov tahun lepas. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *