Isu Dengan Sabah, Sarawak Boleh Diselesaikan – Perdana Menteri

Tun Dr Mahathir Mohamad

CYBERJAYA, Feb 10: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepada para pelabur bahawa pertikaian yang berlaku antara kerajaan dengan Sabah dan Sarawak mengenai beberapa isu boleh diselesaikan secara sama-sama menang.

Oleh itu, Perdana Menteri berkata para pelabur tidak perlu bimbang dengan Sabah dan Sarawak, sebaliknya mereka harus melabur di kedua-dua negeri itu kerana mereka mempunyai tadbir urus yang baik. 

Beliau berkata kerajaan Persekutuan dan para pemimpin dari kedua-dua negeri dapat mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan situasi itu, meskipun berlainan pentadbiran. 

“Kita telah berunding dengan pemimpin di sana dan mereka sangat terbuka. Tuntutan itu dibuat oleh sesetengah pihak yang masih boleh dapat menyesuaikan diri mereka dengan sistem negeri-persekutuan. 

“Mereka masih mahu ada hak bersuara dalam segala-galanya tetapi para pemimpin negeri tidak seperti itu. Saya telah berbincang dengan mereka (pemimpin dari Sabah dan Sarawak) dan mereka bersetuju yang kita perlu menyelesaikan masalah ini menerusi rundingan dan mencari penyelesaian sama-sama menang,” katanya pada sesi dialog anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia Perancis, di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Duta Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche. 

Dr Mahathir ditanya oleh seorang peserta dialog untuk memberikan penjelasan tentang hubungan kerajaan persekutuan dengan Sabah dan Sarawak, terutamanya mengenai isu berhubung tuntutan kenaikan royalti minyak, hak-hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), penubuhan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), dan Lebuh Raya Trans-Borneo.

“(Bagi) Sabah, parti pemerintah, Warisan, mempunyai tiga ahli Kabinet dalam kerajaan persekutuan yang bermakna kita sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan mereka. Kita tahu apa yang mereka fikirkan,” katanya. 

Kedua-dua parti pemerintah Sabah dan Sarawak bukan ahli gabungan parti pemerintah di peringkat persekutuan, kata Dr Mahathir, sambil menambah parti pemerintah dibentuk daripada empat parti dari Semenanjung.

“Malaysia adalah sebuah persekutuan. Negeri-negeri itu mentadbir sendiri dalam bahagian tertentu seperti tanah. Tetapi mereka merasakan bahawa mereka tidak mendapat amaun penuh wang daripada industri minyak. Kita bayar lima peratus (royalti) daripada pengeluaran minyak, yang merupakan satu jumlah wang yang sangat besar. 

“Mereka meminta 20 peratus. Jika kita berikan mereka (negeri-negeri pengeluar minyak) 20 peratus, Petronas akan tidak lagi berada dalam kalangan syarikat Fortune 500,” katanya. 

Dr Mahathir berkata Sarawak adalah negeri terkaya di Malaysia dengan belanjawan RM11 bilion berbanding negeri-negeri lain. 

“Ketaksamaan antara negeri-negeri perlu diperbetulkan. Jika kita memberikan lebih kepada Sabah dan Sarawak, perbezaan akan menjadi lebih buruk berbanding sekarang. Meskipun kita berbeza pendapat, kita boleh duduk berbincang bersama-sama dan menyelesaikan perbezaan ini,” katanya. 

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *