Abam Bochey Pesan Jaga Anak

Biarpun sudah mendirikan rumah tangga, Allahyarham Abam tetap menjaga ibunya. 

KUALA LUMPUR: Allahyarham Abam tidak menunjukkan petanda pelik, sebaliknya hanya berpesan pada ibunya, Sabariah Arshad supaya menjaga anaknya dengan baik.

Sabariah, 63, berkata dia tidak menyedari pesanan arwah membawa petanda dia akan pergi selama-lamanya, pagi ini.

“Saya dan arwah sangat rapat, lebih lagi saya hidup sendiri sejak 11 tahun lalu. Dialah yang menjaga saya.

“Arwah, anak yang baik dan paling banyak bersabar dengan kerenah ketika saya sakit.

“Abam suka bersedekah dan melakukan amal jariah untuk anak yatim,” kata Sabariah ketika ditemui di perkarangan Masjid Gombak Utara, hari ini.

Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Gombak dipercayai akibat demam panas, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Anak kedua daripada empat adik beradik itu mendirikan rumah tangga dengan Siti Nurhidayah Mohd Ali dikurniakan cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan.

Achey berkata, dia ralat perancangan menerbitkan program komedi bagi siaran media sosial termasuk laman YouTube diteruskan tanpa arwah.

“Sekalipun tanpa arwah, saya dan Fad akan meneruskan perancangan menerbitkan program komedi ini.

“Ini cetusan idea arwah dan sudah lama dirancang sejak penyertaan dalam program realiti, Maharaja Lawak Mega lagi.

“Agak sedih tak dapat diteruskan bersama arwah. Namun, semangat arwah akan sentiasa ada dalam hati kami.

“Apatah lagi, kumpulan Bocey begitu dekat di hati masyarakat dan peminat. Saya dan Fad sudah berbincang untuk merealisasikan impian arwah Abam,” katanya kepada BH Online.

Jenazah dibawa ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat kira-kira jam 11.30 pagi tadi. Arwah kemudiannya dibawa ke Masjid Gombak Utara untuk disembahyang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu selepas solat asar.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *