Terpaksa Melacur Kononnya Untuk Sara Anak

Pegawai polis (kanan) memeriksa telefon bimbit kesemua suspek. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: “Tolonglah tuan, saya terpaksa buat (melacur) untuk menyara seorang anak saya,” itulah alasan seorang wanita ketika ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah kondominium, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, alasan wanita warga Filipina berusia 25 tahun itu gagal untuk melepaskan diri hingga menyebabkan dia menangis teresak-esak.

Wanita itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kira-kira jam 6 petang tadi.

Kondom dan peralatan menghisap syabu ditemui dalam bilik kondominium berkenaan. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Wanita itu ditahan ketika sedang melayan seorang lelaki disyaki pelanggannya di dalam sebuah bilik di kondominium berkenaan.

Ketika disoal siasat dia mengaku menawarkan khidmat seks dengan kadar bayaran RM500 untuk sekali perkhidmatan.

Pegawai Turus D7 IPK Sabah Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata pihaknya turut menahan seorang lagi wanita warga Filipina berusia 26 tahun dan dua lelaki tempatan disyaki penjaga kepada kedua-dua wanita terbabit.

Pegawai polis menyoal siasat wanita yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah kondominium di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Hasil pemeriksaan menemui kondom yang sudah dan belum digunakan serta beberapa peralatan menghisap dadah jenis syabu.

“Modus operandi suspek ini dipercayai mencari pelanggan dengan menggunakan aplikasi WeChat namun siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi tujuan persundalan,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *