Polis Tahan 7 Pelajar Lelaki

Video tular itu memaparkan pelajar dibelasah dan dipukul menggunakan kayu.

KOTA KINABALU: Seramai tujuh pelajar lelaki ditahan selepas disyaki terbabit membelasah seorang rakan sekolah mereka di kawasan taman awam Taman Nelly di sini, 5 Februari lalu.

Kesemua suspek pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di daerah ini ditahan polis di hadapan sekolah berkenaan pukul 10.25 pagi, kelmarin.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 5 Februari lalu sebelum tular di laman sosial pada keesokkannya manakala mangsa lelaki berusia 15 tahun turut membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata semua suspek dibawa ke Balai Polis Karamunsing, di sini untuk siasatan lanjut.

Video tular itu memaparkan pelajar dibelasah dan dipukul menggunakan kayu.

“Siasatan awal mendapati punca suspek menyerang mangsa masih belum dapati dipastikan kerana mangsa menyatakan tidak mempunyai masalah dengan semua suspek terbabit sebelum ini.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami bengkak pada bahagian belakang kepala dan sakit bahagian tengkuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Pada 6 Februari lalu, satu rakaman video memaparkan sekumpulan pelajar membelasah seorang pelajar lelaki termasuk menggunakan kayu dan kejadian itu tersebar di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Video berdurasi 49 saat itu turut memaparkan beberapa pelajar yang melihat pergaduhan itu kemudian campur tangan hingga menyebabkan pergaduhan semasa sendiri. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *