Warga Emas Maut Dihempap Tayar Lori ‘Terbang’

Mangsa maut selepas terkena tayar ‘terbang’.

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut dihempap tayar lori ‘terbang’ di Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.20 pagi itu, mangsa, Hadi Lanunu, 64, maut di lokasi kejadian selepas tayar lori berkenaan mengenai kepalanya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, terdahulu, sebuah lori tanker dengan muatan minyak kelapa sawit dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu.

Lori yang dipandu suspek.

“Sebaik tiba di lokasi, satu daripada tayar lori berkenaan tertanggal secara tiba-tiba.

“Tayar itu kemudian terbang dan bergolek sebelum mengenai mangsa yang kebetulan sedang berjalan kaki di tepi jalan raya, di lokasi berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa mengalami cedera parah terutamanya di bahagian kepala  sekali gus menjadi punca kepada kematiannya.

Nasri berkata, siasatan ke atas pemandu lori warga Indonesia, 42, mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika memandu.

“Bagaimanapun, suspek hanya mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah, tetapi tidak mempunyai sebarang lesen kenderaan.

“Sehubungan itu, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Nasri berkata, tindakan perundangan juga dikenakan ke atas majikan suspek kerana mengambil pekerja tanpa lesen selain kenderaan tidak mempunyai cukai jalan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *