Tapisan Di Semua Lapangan Terbang Di Sabah Turut Babitkan Penumpang Domestik

KOTA KINABALU: Langkah-langkah tapisan kesihatan di semua lapangan terbang di Sabah akan turut melibatkan penumpang domestik, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon.

Beliau berkata dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan kaedah-kaedah yang perlu bagi membanteras penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), semua penumpang yang memasuki Sabah menerusi penerbangan domestik, termasuk dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Labuan juga perlu melalui tapisan kesihatan sebaik tiba.

“Kes-kes suspek akan dihantar untuk pemeriksaan lanjut dan sekiranya ia menjadi kes yang disahkan, rawatan pengasingan akan dilaksanakan dengan teratur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya langkah-langkah tapisan itu telah mula dilaksanakan di Lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu serta lapangan terbang Tawau; dan ketika ini para petugas sedang digerakkan ke Sandakan untuk mula melaksanakan langkah-langkah tapisan itu di lapangan terbang di sana.

Sementara itu Frankie berkata petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Sabah di lapangan terbang Sabah akan mengagihkan akan risalah “Home Assessment Tool” kepada pelawat yang memasuki negeri, bagi membimbing mereka untuk menjalankan penilaian kesihatan kendiri.

Poon berkata pemberian itu adalah sebagai usaha mempromosi kebersihan diri, selain menasihatkan mereka yang mempunyai simpton seperti demam, batuk atau kerongkong yang perit; agar segera mendapatkan nasihat perubatan dari hospital berdekatan.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Sabah juga telah meningkatkan jumlah pegawai dan petugasnya bagi meningkatkan langkah-langkah tapisan di lapangan terbang negeri. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *