Penagih Ditembak Selepas Serang Polis Di Kunak

Parang panjang yang digunakan suspek untuk menyerang polis. Foto ihsan IPD Kunak

KUNAK: Seorang penagih dadah cedera ditembak selepas cuba menyerang anggota polis menggunakan parang panjang di kawasan ladang Yuwang Tingkayu, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 4 pagi itu, sepasukan tujuh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) yang sedang menjalankan Ops Ice Breaker membuat intipan di kawasan dipercayai sarang kegiatan penagihan dadah.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir, berkata ketika intipan dijalankan kelihatan seorang lelaki yang mencurigakan memakai beg di bahagian pinggang sedang memegang parang panjang di kawasan berkenaan.

Katanya, anggota polis kemudiannya memperkenalkan diri dan mengarah suspek membuang parang serta menyerah diri, namun tidak diendahkan.

“Walaupun beberapa kali amaran diberikan suspek enggan menyerah diri, sebaliknya bertindak lebih agresif dengan berlari meluru sambil melibaskan parang ke arah anggota polis.

“Bagi mempertahankan diri dari bahaya dan kecederaan, anggota polis melepaskan dua das tembakan menyebabkan lelaki itu rebah ke tanah,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang cedera di bahu kiri dan kanan dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan dan polis merampas parang panjang yang digunakannya.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg pinggang milik suspek telah menjumpai satu kotak rokok berjenama L.A. yang di dalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 17.25 gram dianggarkan bernilai RM2587.50,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *