Shafie Mahu Fokus Kepada Pembangunan Negeri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengambil pendekatan untuk memberi fokus kepada usaha pembangunan negeri berbanding mengulas tentang dakwaan wujud perancangan menubuhkan pakatan politik baru di peringkat kerajaan Persekutuan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, beliau percaya keadaan yang berlaku akan memberi kesan namun, di peringkat negeri Sabah, fokus akan diberi kepada pentadbiran dan usaha membangunkan Sabah terlebih dahulu.

“Kita telah diberi mandat dan amanah oleh para pengundi dan rakyat Malaysia di Sabah. Jadi kita kena membantu rakyat dan inilah yang harus menjadi keutamaan kita,” katanya ketika ditanya mengenai pendirian Warisan mengenai spekulasi akan wujud pakatan politik baru yang dikenali sebagai Pakatan Nasional.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Program Ukhuwah & Peningkatan Ilmu Muslimah negeri Sabah.

Terdapat ura-ura menyatakan ada rancangan kerjasama UMNO dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk satu pakatan politik baru, yang dikenali sebagai Pakatan Nasional.

Rancangan itu disuarakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO pada Rabu.

Pakatan politik baru itu dijangka disertai oleh UMNO,  BERSATU, sebahagian pemimpin PKR, beberapa pemimpin DAP, PAS dan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Perubahan kerajaan di peringkat persekutuan juga akan turut melibatkan perubahan di peringkat negeri seperti Kedah, Perak dan beberapa buah negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *