Lelaki Tempatan Edar Syabu Dicekup Di Kawasan Ladang

Suspek bersama syabu, alat penimbang dan seluar yang digunakan suspek dirampas untuk tindakan selanjutnya.

TAWAU: Seorang lelaki tempatan disyaki pengedar dadah ditahan bersama syabu seberat 51 gram di  kawasan Ladang Sawit Teck Guan Bergosong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata dalam kejadian jam 3 petang itu, sepasukan anggota Polis Cawangan Risik PGA 14 Tawau dan anggota Balai Polis Bergosong menyerbu kawasan tersebut selepas menerima maklumat mengenai kegiatan itu.

“Semasa operasi dijalankan pihak polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di tepi jalan di dalam kawasan ladang tersebut dan bertindak pantas menahan suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal terhadap tubuh badan suspek, pihak polis menemui tiga peket plastik jernih berlainan saiz mengandungi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu disimpan di dalam poket hadapan sebelah kiri seluar suspek .

“Turut ditemukan di sebelah kanan seluar suspek satu unit alat penimbang digital warna hitam disyaki digunakan untuk urus niaga pengedaran syabu terbabit dan penemuan itu menguatkan lagi suspek menjalankan pengedaran dadah di kawasan tersebut dan sekitarnya.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan syabu bernilai RM4,500 mengikut harga pasaran semasa itu cuba dijual kepada penagih-penagih di ladang tersebut dan penduduk di kawasan berhampirannya.

“Suspek, 31, yang beralamat di Warung Pengkalan Kampung Bergosong juga didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine setelah keputusan ujian saringan awal air kencing diperolehi,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tawau untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama atas kesalahan memasukkan dadah dalam badan.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *