Doktor Terawal Memberi Amaran Koronavirus Meninggal Dunia

Wenliang adalah doktor di China antara terawal memberi amaran mengenai ancaman coronavirus.

SHANGHAI/BEIJING: Seorang doktor di China yang merupakan antara terawal memberi amaran mengenai ancaman coronavirus baharu, meninggal dunia pada Jumaat akibat wabak itu.

Kematian Li Wenliang, 34, yang bertugas sebagai pakar mata di sebuah hospital di Wuhan, diratapi dalam media sosial ketika Beijing mengisytiharkan ‘perang rakyat’ terhadap wabak yang menular dengan pantas itu.

Wenliang dan tujuh individu lagi ditahan polis Wuhan, bulan lalu, kerana didakwa menyebarkan maklumat ‘palsu dan haram’ mengenai coronavirus selepas beliau memberi amaran kepada doktor melalui media sosial mengenai tujuh kes jangkitan virus misteri baharu untuk cuba membantu.

Dalam media sosial, ramai rakyat China menyifatkan Wenliang sebagai wira dan mangsa tragik, menggambarkan ketidakcekapan pihak berkuasa tempatan dalam menangani kemunculan virus itu pada peringkat awal wabak.

Pada Jumaat, wilayah Hubei di mana terletaknya Wuhan, melaporkan 69 kematian baharu, menjadikan jumlah korban coronavirus di China kini mencecah lebih 600 mangsa.

Ia turut melaporkan hampir 2,500 kes baharu, menjadikan jumlah jangkitan di China kini melebihi 30,000, menurut siaran televisyen negara ini.

Presiden China, Xi Jinping, berusaha untuk meyakinkan rakyatnya dan dunia bahawa China akan mengatasi wabak coronavirus.

“Seluruh negara telah bertindak balas dengan segala kekuatan melalui langkah kawalan dan pencegahan paling teliti serta ketat, memulakan satu perang rakyat untuk kawalan dan pencegahan epidemik,” agensi berita Xinhua memetik beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *