111 PATI Warga Indonesia Diusir

PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menggunakan perkhidmatan Feri di Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan Indonesia. – Foto ihsan MKN Sabah

TAWAU : Seramai 111 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, termasuk empat wanita dan seorang kanak-kanak lelaki dihantar pulang ke negara asal mereka pada 1.00 tengahari tadi.

Program pengusiran dan penghantaran pulang PATI itu adalah siri ke-9 untuk tahun ini yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi kerajaan yang lain.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kesemua PATI berkenaan diusir melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, di Nunukan Indonesia.

Beliau berkata, sehingga bulan Februari tahun ini sahaja, seramai 2,105 warga Filipina dan Indonesia sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menjadikan jumlah pengusiran sejak tahun 1990 berjumlah seramai 593,362 orang termasuk melalui udara.

“MKN komited dalam melaksanakan pengusiran dan menghantar pulang PATI demi menunaikan amanah dan kepercayaan rakyat yang tidak mahu melihat negara dan negeri ini dibanjiri dengan kehadiran PATI,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai agar tidak hanya meletakkan tanggungjawab membanteras kehadiran PATI kepada pihak kerajaan, sebaliknya membantu dengan menyalurkan maklumat mengenai kehadiran PATI kepada pihak berkuasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit memberikan komitmen tinggi dalam membantu menjayakan proses pengusiran itu.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *